ENAKMEN 2 TAHUN 1986
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1986

BAHAGIAN III - MAKLUMAT KEPADA PEMERIKSA AGAMA DAN KUASA-KUASA MENYIASAT
BAB IV



Seksyen 59. Kenyataan kepada Pemeriksa Agama tidak boleh diterima dalam keterangan.

(1) Kenyataan yang dibuat oleh mana-mana orang kepada Pemeriksa Agama dalam masa penyiasatan yang dijalankan di bawah Bab ini tidaklah boleh, kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen ini, digunakan sebagai keterangan.

(2) Apabila mana-mana saksi dipanggil untuk pendakwaan atau untuk pembelaan, selain daripada yang dituduh, Mahkamah hendaklah atas permintaan orang yang dituduh itu atau Pendakwa merujuk kepada apa-apa kenyataan yang telah dibuat oleh saksi itu kepada seorang Pemeriksa Agama dalam masa penyiasatan yang dijalankan di bawah Bab ini, dan boleh kemudiannya, jika Mahkamah fikirkan patut demi kepentingan keadilan, mengarahkan supaya orang yang dituduh itu diberi suatu salinannya, dan kenyataan itu boleh digunakan bagi mencabar kebenaran saksi itu dengan cara yang diperuntukkan oleh Akta Keterangan 1950 [Akta 56].

(3) Tiadalah sesuatu dalam seksyen ini boleh disifatkan terpakai kepada apa-apa kenyataan yang dibuat dalam masa pembarisan cam atau yang termasuk di bawah seksyen 27 dan 32 (a) Akta Keterangan 1950.

(4) Apabila mana-mana orang dituduh atas apa-apa kesalahan berhubung dengan perbuatan atau kandungan apa-apa kenyataan yang dibuat olehnya kepada seorang Pemeriksa Agama dalam masa penyiasatan di bawah Bab ini maka kenyataan itu boleh digunakan sebagai keterangan dalam pendakwaan itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.