ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN X - ACARA DALAM PEMBICARAAN JENAYAH



Seksyen 206. Penangguhan hukuman penjara kerana Ulangbicara.


(1) Bila-bila masa jua pun selepas hukuman penjara dijatuhkan, yang dihukum boleh memohon kepada Mahkamah yang menjatuhkan hukuman ke atasnya itu bagi hukuman penjara itu ditangguhkan dengan alasan bahawa ia hendak memohon ulangbicara ke atas kesnya atau surat pemohon ulangbicara sudah pun dimasukkan.

(2) Tertakluk kepada seksyen-kecil (3) ini Mahkamah itu bolehlah meluluskan permohonan itu atas jaminan yang difikirkan patut dan hukuman penjara itu pun ditangguhkan sehingga tamatnya ulangbicara itu.

(3) Jika atas apa-apa sebab permohonan ulangbicara itu tidak dibuat dalam tempoh yang diizinkan atau surat permohonan ulangbicara itu ditarik balik, maka Mahkamah itu bolehlah mengarahkan tangkapan semula dan hukuman penjara dijalankan.

(4) Jika, untuk maksud seksyen-kecil (3), yang dihukum tidak dapat dikesan dialamatnya selepas beberapa kali cubaan yang berpatutan untuk mengesannya telah dibuat dan orang penjaminnya pun tidak dapat menyerahkannya kepada Mahkamah, Mahkamah hendaklah memanggil si penjamin hadir di Mahkamah dengan arahan bahawa si penjamin hendaklah memberi sebab-sebab mengapa wang jaminan tidak boleh dirampas. Jika Mahkamah tidak berpuashati atas sebab-sebab itu, maka Mahkamah itu bolehlah merampas wang jaminan itu sebanyak mana yang difikirkan patut atau kesemua-semuanya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.