ENAKMEN 13 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1992

BAHAGIAN II
MAJLIS UGAMA ISLAM NEGERI SABAH



Seksyen 15. Pelantikan Setiausaha dan pegawai-pegawai Majlis.

(1) Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah hendaklah menjadi Setiausaha Majlis:

Dengan syarat bahawa jika jawatan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah itu belum diwujudkan, Yang di-Pertua Negeri boleh, atas nasihat Menteri, melantik seseorang daripada Perkhidmatan Awam Negeri untuk menjadi Setiausaha bagi suatu tempoh sebagaimana yang dinyatakan dalam pelantikan.

(2) Setiausaha hendaklah menjadi ketua pegawai eksekutif dan pentadbir Majlis dan hendaklah bertanggungjawab bagi menjalankan polisi-polisi dan ketetapan-ketetapan Majlis.

(3) Majlis hendaklah melantik seseorang atau beberapa orang pegawai Majlis yang hendaklah bertanggungjawab kepada Setiausaha untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu Majlis sebagaimana difikirkan perlu oleh Majlis.

(4) Setiausaha adalah berhak menghadiri semua mesyuarat Majlis dan mengambil bahagian dalam perjalanan perbincangannya, tetapi tidak boleh mengundi.

(5) Setiausaha hendaklah menjadi ahli ex-officio Majlis, yang bertindak sebagai setiausaha dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis.

(6) Setiausaha hendaklah tertakluk kepada arahan Majlis, bertanggungjawab bagi pentadbiran harian Majlis dan bagi melaksanakan keputusan-keputusan Majlis, dan hendaklah melaksanakan apa-apa kuasa atau kewajipan yang ditentukan oleh Majlis.

(7) Jika Setiausaha tidak berupaya melaksanakan kewajipannya sebagai demikian oleh sebab berada di luar Negeri, atau sebab-sebab lain, Majlis boleh melantik seorang daripada pegawai-pegawainya untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan Setiausaha semasa tempoh Setiausaha tidak dapat melaksanakan kewajipan-kewajipannya.

(8) Orang-orang yang sebaik sahaja sebelum mula berkuatkuasanya Enakmen ini memegang jawatan-jawatan Setiausaha atau pegawai-pegawai Majlis hendaklah, tertakluk kepada Enakmen ini, dianggap sebagai dilantik ke jawatan mereka masing-masing di bawah seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.