ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN XII - ACARA AM



Seksyen 239. Keterangan.


(1) Mahkamah hendaklah mematuhi semua peruntukan-peruntukan dalam Hukum Syara' berkenaan dengan bilangan, taraf atau mutu saksi-saksi atau keterangan-keterangan yang dikehendaki untuk membuktikan apa-apa kenyataan. Kecuali apa yang telah dinyatakan, Mahkamah itu hendaklah mangambil perhatian kepada undang-undang keterangan yang bagi sementaranya sedang dipakai di Negeri ini dan hendaklah berpandukan dengan prinsip-prinsipnya, tetapi hendaklah tidak diwajibkan memakainya dengan setepat-tepatnya.

(2) Mahkamah adalah diberi kuasa bagi menguruskan membuat mengangkat sumpah dan pengakuan-pengakuan. Keterangan-keterangan hendaklah lazimnya diberi dengan bersumpah dengan cara yang diwajibkan kepada orang-orang Islam tetapi Mahkamah boleh dengan alasan-alasan khas mengecualikan dari mengangkat sumpah dan mengambil keterangan-keterangan dengan membuat pengakuan. Pengakuan itu hendaklah berbentuk seperti:

" Saya............. dengan sesungguhnya mengaku bahawa keterangan-keterangan yang saya akan beri adalah benar, semuanya benar dan tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka ".

Sama ada dengan bersumpah atau membuat pengakuan seorang saksi itu hendaklah diwajibkan untuk menyatakan yang benar.

(3) Jika, pada pendapat Mahkamah mana-mana saksi, sudah dengan sengaja memberi keterangan palsu dalam sesuatu pembicaraan, Mahkamah boleh melaporkan perkara itu kepada Pegawai Pendakwa atau boleh menggunakan semua kuasa-kuasa sebagaimana yang diberi oleh seksyen 14 Akta Sumpah dan Pengakuan 1949 kepada Mejistret Kelas Satu dalam kes yang seumpama itu, dengan tertakluk kepada had-had dan syarat-syarat yang diberi oleh seksyen itu. Sesiapa yang dihukum di bawah peruntukan seksyen-kecil ini hendaklah mempunyai hak merayu seolah-olah dia telah dihukum di bawah Akta itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.