ENAKMEN 5 TAHUN 2005
ENAKMEN WAKAF (NEGERI SEMBILAN) 2005

BAHAGIAN VIII - KESALAHAN-KESALAHAN DAN PENALTI



Seksyen 36. Menggunakan secara haram ruang udara.

(1) Tertakluk kepada Kanun Tanah Negara, mana-mana orang yang tanpa kebenaran Majlis atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Majlis, menggunakan atau menduduki ruang udara di atas tanah wakaf dengan mendirikan bumbung, langit-langit, sengkuap, jambatan atau apa-apa binaan atau struktur lain adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda yang tidak melebihi lima ribu ringgit, atau dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, dan dalam hal kesalahan berterusan, dikenakan denda selanjutnya yang tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan itu.

(2) Mahkamah boleh, atas permohonan pegawai pendakwa, memerintahkan seseorang yang melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1) supaya merobohkan, memusnahkan dan membersihkan apa-apa bumbung, langitlangit, sengkuap, jambatan atau apa-apa binaan atau struktur lain di atas tanah wakaf itu atas perbelanjaan orang yang melakukan kesalahan itu.

(3) Jika orang yang disebut di bawah subseksyen (2) gagal mematuhi perintah Mahkamah, Majlis boleh menyebabkan supaya dilaksanakan perintah itu dengan membelanjakan wang daripada Kumpulan Wang Wakaf atau sumber pembiayaan lain, dan Majlis boleh menuntut apa-apa perbelanjaan yang dilakukan daripada orang itu.

(4) Jika tiada perintah Mahkamah dibuat di bawah subseksyen (2), apa-apa bumbung, langit-langit, sengkuap, jambatan atau apa-apa binaan atau struktur lain yang terdapat di atas tanah wakaf itu hendaklah terletak hak kepada Majlis dan mana-mana orang tidak boleh membuat apa-apa tuntutan terhadap Majlis berhubungan dengan bumbung, langit-langit, sengkuap, jambatan atau apa-apa binaan atau struktur lain itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.