ENAKMEN 4 TAHUN 1993
ENAKMEN JENAYAH DALAM SYARAK 1991

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang berlainan:

"jenayah" ertinya jenayah dalam Syarak;

"Kadi" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991;

"Kerajaan" mempunyai erti yang sama diberi kepadanya dalam Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1963;

"liwat" ertinya perhubungan jenis di antara lelaki dengan lelaki atau di antara lelaki dengan perempuan melalui dubur;

"Mahkamah" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang ditubuhkan menurut seksyen 4 Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1963;

"muqaddimah zina" ertinya perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan di antara lelaki dan perempuan yang mendorong kepada perzinaan;

"munsyikari" ertinya seorang yang menjalankan pekerjaan sebagai orang tengah di antara seseorang perempuan dengan seorang lelaki bagi tujuan-tujuan yang menyalahi Hukum Syarak;

"musahaqah" ertinya perhubungan jenis di antara perempuan dengan perempuan;

"Negeri" ertinya Negeri Perlis;

"Pegawai Masjid" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1963;

"perempuan bersuami" ertinya seseorang perempuan yang telah bernikah dan ia masih di dalam nikahnya lagi;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan dengan anggapan bahawa mereka adalah suami isteri yang sah tetapi ternyata kemudiannya bahawa mereka bukan suami isteri yang sah mengikut Hukum Syarak;

"Pendaftar Sekolah-sekolah Agama" ertinya Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 3 Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1990;

"sumbang" ertinya perbuatan atau siri perbuatan yang dianggap bertentangan dengan Hukum Syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang ditegah berkahwin;

"takfir" ertinya mengkafirkan orang Islam;

(2) Semua perkataan, perbahasaan, takrifan dan rangkaikata yang digunakan di dalam Enakmen ini tetapi tidak ditakrifkan dengan tertentu di dalamnya maka hendaklah disifatkan mempunyai erti yang diberi padanya dalam Akta Tafsiran 1967 [
Akta 388].

(3) Jika timbul sebarang persoalan atau pertikaian dalam mentafsir sesuatu perkataan, perbahasaan atau rangkaikata mengenai Hukum Syarak maka adalah dalam bidangkuasa Mahkamah yang membicarakannya itu untuk memberi takrifan kepada perkataan, perbahasaan atau rangkaikata sedemikian itu.

(4) Kesalahan-kesalahan yang terdapat di dalam Enakmen ini tidak sahaja termasuk tindakan-tindakan yang dilakukan tetapi juga ketinggalan yang menyalahi undang-undang.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.