ENAKMEN 8 TAHUN 1991
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI MELAKA) 1991

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN.
BAB 8 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 115. Pengemukaan suratan-suratan dan penterjemahannya.

(1) Seseorang saksi yang dipanggil supaya hadir mengemukakan sesuatu suratan hendaklah, jika suratan itu ada di dalam miliknya atau di bawah kuasanya, membawa suratan itu ke Mahkamah walaupun mungkin ada apa-apa bantahan tentang sama ada suratan itu boleh dikemukakan atau diterima dalam keterangan. Sah atau tidaknya sesuatu bantahan itu hendaklah diputuskan oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut memeriksa suratan itu melainkan jika suratan itu adalah berkenaan dengan hal ehwal negara, atau mengambil lain-lain keterangan bagi membolehkan ia mentukan sama ada suratan itu boleh diterima atau tidak.

(3) Jika bagi maksud itu sesuatu suratan perlu diterjemahkan maka Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, mengarahkan perterjemahnya supaya merahsiakan kandungan suratan itu melainkan jika suratan itu akan diberi sebagai keterangan, dan jika penterjemah itu mengengkari arahan itu maka ia hendaklah disifatkan sebagai telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 86 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.