ENAKMEN 8 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2002

BAHAGIAN III - PERUNTUKAN AM YANG LAIN
BAB 4 - DARIHAL PROSES UNTUK MEMAKSA PENGEMUKAAN DOKUMEN DAN HARTA ALIH YANG LAIN DAN BAGI PENEMUAN ORANG YANG DIKURUNG DENGAN SALAH



Seksyen 42. Saman untuk mengemukakan dokumen atau benda lain

(1) Bilamana mana-mana Mahkamah atau Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang membuat penyiasatan di bawah Enakmen ini berpendapat bahawa pengemukaan mana-mana harta atau dokumen adalah perlu atau wajar bagi maksud apa-apa penyiasatan, siasatan, perbicaraan atau prosiding lain di bawah Enakmen ini oleh atau di hadapan Mahkamah atau pegawai itu, maka Mahkamah itu boleh mengeluarkan suatu saman atau pegawai itu boleh mengeluarkan suatu perintah bertulis kepada orang yang dalam milikan atau kuasanya harta atau dokumen itu dipercayai berada, menghendaki orang itu hadir dan mengemukakannya atau mengemukakannya pada masa dan di tempat yang dinyatakan dalam saman atau perintah itu.

(2) Mana-mana orang yang dikehendaki di bawah seksyen ini hanya untuk mengemukakan apa-apa harta atau dokumen hendaklah disifatkan telah mematuhi permintaan itu jika dia menyebabkan harta atau dokumen itu dikemukakan dan dia tidak hadir sendiri untuk mengemukakannya.

(3) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai menyentuh peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keterangan yang sedang berkuat kuasa atau terpakai bagi apa-apa barang pos, telegram atau dokumen lain dalam jagaan pihak berkuasa pos atau telegraf.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.