ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN IV - KESALAHAN
Darihal keterangan palsu dan kesalahan-kesalahan terhadap keadilan awam



Seksyen 82. Hukuman bagi keterangan palsu.

Mana-mana orang yang dengan sengaja memberi keterangan palsu pada mana-mana peringkat prosiding kehakiman, atau dengan sengaja mereka keterangan palsu bagi maksud digunakan pada mana-mana peringkat prosiding kehakiman, adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya; dan sesiapa dengan sengaja memberi atau mereka keterangan palsu dalam mana-mana hal lain, adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Huraian 1-Suatu penyiasatan yang diarah oleh undang-undang sebagai permulaan bagi prosiding di hadapan Mahkamah ialah suatu peringkat dalam prosiding kehakiman, walaupun penyiasatan itu tidak berlaku di hadapan Mahkamah.

Huraian 2
-Suatu penyiasatan yang diarah oleh Mahkamah menurut undang-undang, dan yang dijalankan di bawah kuasa Mahkamah, ialah suatu peringkat dalam prosiding kehakiman, walaupun penyiasatan itu tidak berlaku di hadapan Mahkamah.

MISALAN

A., dalam suatu siasatan di hadapan seorang pegawai yang diarah oleh Mahkamah bagi menentukan sempadan-sempadan tanah di atas tanah yang berkenaan, membuat dengan mengangkat sumpah suatu kenyataan yang ia ketahui sebagai palsu. Oleh kerana siasatan ini adalah suatu peringkat prosiding kehakiman, maka A. telah memberi keterangan palsu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.