ENAKMEN 4 TAHUN 1994
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN 1994

BAHAGIAN VII - KESALAHAN



Seksyen 115. Percetakan agama dan lain-lain.

(1) Sesiapa yang mencetak, menerbit, menjual, mempamirkan sama ada untuk dijual atau dipertunjukkan percuma dengan apa-apa cara, menyebar atau membahagi-bahagikan apa-apa buku, majalah-majalah, dokumen-dokumen atau surat-surat yang mengandungi ajaran, fatwa, atau penetapan yang bertentangan dengan Hukum Syarak atau mana-mana fatwa yang telah dikeluarkan dalam Negeri ini oleh atau bagi pihak Majlis, adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi empat ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Seseorang yang ada dalam simpanannya atau kawalannya buku-buku, majalah-majalah, dokumen-dokumen atau surat-surat yang disebut di bawah subseksyen (1), dan jika didapati dalam keadaan yang boleh memberi sebab untuk mengesyaki bahawa buku-buku, majalah-majalah, dokumen-dokumen dan surat-surat itu adalah untuk disebarkan, dibahagi-bahagikan atau untuk dijual, maka barang-barang itu hendaklah dianggap sebagai di dalam kawalannya atau simpanannya atau ada padanya untuk disebarkan, dibahagikan-bahagikan atau dijual.

(3) Dalam ketiadaan keterangan-keterangan lain yang bertentangan, jika terdapat lima buah atau lebih buku-buku atau majalah-majalah itu atau lima helai dengan kandungan yang serupa atau lebih dokumen-dokumen atau surat-surat itu, maka ini adalah mencukupi untuk menimbulkan syak yang disebut di bawah subseksyen (2).

(4) Mahkamah hendaklah mengeluarkan perintah bagi semua buku-buku, majalah-majalah, dokumen-dokumen atau surat-surat yang disebut di bawah subseksyen (1) dan (2) dirampas dengan arahan supaya dimusnahkan atau dikenakan apa-apa arahan yang sesuai sama ada pendakwaan dibuat atau tidak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.