ENAKMEN 12 TAHUN 1986
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986

BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYAR'IAH
Proses untuk Memaksa Kehadiran - Kes Mal



Seksyen 94. Keterangan.

(1) Mahkamah hendaklah mengikut segala syarat Hukum Syara' berkenaan dengan saksi atau keterangan yang dikehendaki untuk membuktikan mana-mana fakta dan pengaruh, bilangan, taraf, atau mutunya.

(2) Kecuali bagaimana diperuntukkan dalam sub-seksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian kepada undang-undang keterangan yang pada masa ini berjalan kuatkuasanya di dalam Negeri ini dan hendaklah berpandu kepada prinsip-prinsip yang tersebut di dalamnya, tetapi tidaklah terwajib menurutnya dengan tepat.

(3) Mahkamah adalah berkuasa mentadbirkan ikrar.

(4) Keterangan hendaklah pada lazimnya diberi dengan ikrar dalam bentuk yang terikat kepada orang-orang yang beragama Islam.

(5) Sesuatu ikrar itu hendaklah berbunyi: "Bahawa saya .............................. (sebut nama) berikrar dengan sesungguhnya iaitu keterangan saya ini adalah benar, semuanya benar, dan tiada yang lain melainkan yang benar" atau perkataan-perkataan yang sama maksudnya.

(6) Seseorang saksi adalah terikat supaya bercakap benar dan hendaklah berikrar sebagaimana diperuntukkan dalam subseksyen (5) setelah dia mengaku yang dirinya menjadi seorang saksi dengan melafaz: "Bahawa saya .............................. (sebut nama) dengan ini mengaku berdiri sebagai saksi di dalam perbicaraan .................................... melawan ...................................." atau perkataan-perkataan yang sama maksudnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.