ENAKMEN 1 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003

BAHAGIAN VI - KEWANGAN
Baitumal dan Tatacara Kewangan Majlis.



Seksyen 81. Penubuhan Baitulmal.

(1) Suatu kumpulan wang bernama Baitulmal adalah dengan ini ditubuhkan.

(2) Baitulmal hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Baitulmal.

(3) Semua wang dan harta dalam Baitulmal hendaklah terletak hak pada Majlis yang hendaklah mentadbirkan semua wang dan harta itu mengikut peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini.

(4) Walau apa pun peraturan yang disebut dalam subseksyen (3), mana-mana pelaburan, aset atau kumpulan wang yang terletak hak pada Majlis boleh dijual, dihasilkan dan dilupuskan, dan hasil-hasil daripadanya boleh dilaburkan dari semasa ke semasa dalam mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa bagi pelaburan wang amanah dan Hukum Syarak.

(5) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Enakmen ini, Majlis, dengan kelulusan Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh membuat peraturan-peraturan tentang pemungutan, pentadbiran dan pembahagian semua harta Baitulmal.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.