ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Seksyen 14. Perkahwinan seseorang perempuan
(1) Tiada seorang perempuan pun boleh, dalam masa perkahwinannya dengan seorang lelaki berterusan, berkahwin dengan seseorang lelaki lain.
(2) Jika perempuan itu adalah seorang janda-
(a) tertakluk kepada perenggan (c), dia tidak boleh, pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh 'iddahnya yang dikira mengikut Hukum Syarak, berkahwin dengan seseorang melainkan kepada lelaki yang akhir dia telah bercerai;
(b) dia tidak boleh berkahwin melainkan dia telah mengemukakan-
(i) suatu perakuan cerai yang sah yang dikeluarkan di bawah undang-undang yang pada masa itu berkuat kuasa;
(ii) suatu salinan yang diperakui bagi catatan yang berkaitan dengan penceraiannya dalam daftar penceraian yang berkenaan; atau
(iii) suatu perakuan, yang boleh diberikan atas permohonannya selepas siasatan yang sewajarnya oleh Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana permohonan itu dibuat, yang bermaksud bahawa dia ialah seorang janda; dan
(c) jika perceraian itu adalah dengan
ba-in kubra
, iaitu tiga talak, dia tidak boleh berkahwin semula dengan suaminya yang dahulu itu, melainkan jika dia telah berkahwin dengan sah dengan seorang lain dan dia telah disetubuhi oleh seorang lain itu dalam perkahwinan itu dan perkahwinan itu dibubarkan kemudiannya dengan sah dan setelah habis 'iddahnya.
(3) Jika perempuan itu mendakwa telah bercerai sebelum dia telah disetubuhi oleh suaminya dalam perkahwinan itu, dia tidak boleh, dalam masa 'iddah perceraian biasa, berkahwin dengan mana-mana orang selain suaminya yang dahulu itu, kecuali dengan kebenaran Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempaun itu bermastautin.
(4) Jika perempuan itu adalah seorang balu-
(a) dia tidak boleh berkahwin dengan mana-mana orang pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh 'iddahnya yang dikira mengikut Hukum Syarak; dan
(b) dia tidak boleh berkahwin melainkan jika dia telah mengemukakan perakuan kematian suaminya atau dengan cara lain membuktikan kematian suaminya.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.