ENAKMEN 13 TAHUN 1984
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1984

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan -

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh;


"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;


"bermastautin " ertinya seseorang yang tinggal tetap atau pada kelazimannya, tinggal berumahtangga dalam sesuatu kawasan yang tertentu;


"bermukim" ertinya seseorang yang tinggal sementara dalam sesuatu kawasan tertentu;


"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati;


"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syara';


"Hakim Syariah" ertinya seorang Kadi yang dilantik di bawah seksyen 43 Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam 1965;


"harta sepencarian" ertinya pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama di antara suami dan isteri dan termasuklah pendapatan yang didapati daripada modal yang didapati daripada usaha mereka bersama;

"janda" ertinya perempuan yang bukan anak dara atau isteri orang;


"kariah" dan "kariah masjid" ertinya kawasan sesuatu masjid yang ditentukan oleh kebiasaan penduduk di tempat itu;


"Mahkamah" ertinya Mahkamah Kadi atau Kadi Besar atau Jawatankuasa Ulang Bicara yang ditubuhkan di bawah seksyen 44 dan 46 Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam 1965;


"Majlis" ertinya Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak yang ditubuhkan di bawah seksyen 5 Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam 1965;


"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara' oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada dibayar dengan wang tunai atau dengan benda atau dengan berhutang dengan cagaran atau tidak;


"mut'ah" ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara' kepada isteri yang diceraikan;


"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;


"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang-orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 26 Enakmen ini dan termasuklah Ketua Pendaftar dan Penolong Pendaftar;


"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;


"ruju'" ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;


"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;


"ta'liq" ertinya menggantungkan penunaian talak dengan sesuatu;


"tak sahtaraf" berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan diluar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;


"tarikh yang ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 untuk mula berkuatkuasanya Enakmen ini;


"thayyib" ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;


"wali" ertinya waris bagi seorang perempuan yang boleh mengkahwinkannya mengikut Hukum Syara';


"wali Hakim" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mengkahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali mengikut Hukum Syara' atau perempuan yang walinya enggan menikahkannya tanpa suatu sebab yang munasabah mengikut Hukum Syara'.


(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta Pentafsiran 1967 [23/67] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu.

(3) Melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain apa-apa rujukan dalam Enakmen ini mengenai sesuatu Bahagian atau seksyen tertentu adalah rujukan dalam Enakmen ini mengenai sesuatu Bahagian atau seksyen Enakmen ini yang tertentu itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.