ENAKMEN 2 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM 1992

BAHAGIAN VII - KEWANGAN BAlTULMAL



Seksyen 79. Modal wakaf dan nazar am.

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan subseksyen (2) dan (3), harta dan aset modal yang berkaitan dengan mana-mana wakaf atau nazar am yang sah hendaklah digunakan menurut wakaf atau nazar am itu.

(2) Jika oleh sebab lampau masa atau perubahan hal keadaan maka tidak mungkin lagi dapat dijalankan secara berfaedah akan syarat-syarat yang tepat bagi mana-mana wakaf atau nazar am, Majlis hendaklah menyediakan suatu rancangan bagi menggunakan harta dan aset modal yang berkaitan dengan cara yang sehampir mungkin sama dengan yang dikehendaki oleh syarat-syarat bagi wakaf dan nazar am itu dan hendaklah menggunakannya dengan sewajarnya:

Dengan syarat Majlis boleh dengan kelulusan secara bertulis daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan mengarahkan bahawa harta dan aset modal itu hendaklah dimasukkan ke dalam dan menjadi sebahagian daripada akaun sumber am Baitulmal.

(3) Jika syarat-syarat mana-mana nazar am tidak menyatakan penggunaan harta dan aset modal yang berkaitan dengannya, atau tidak menentukan cara penggunaannya, Majlis boleh mengarahkan supaya harta dan aset modal itu dimasukkan ke dalam dan menjadi sebahagian daripada akaun sumber am Baitulmal.

(4) Semua suratcara yang mewujudkan, menjadi keterangan atau berkaitan dengan mana-mana wakaf atau nazar am berserta dengan suratan hakmilik atau sekuriti-sekuriti lain yang berhubung dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.