ENAKMEN 7 TAHUN 2002
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN III - PELANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA, JAWATANKUASA FATWA DAN FATWA YANG BERHUBUNGAN DENGAN PERKARA KEPENTINGAN NASIONAL



Seksyen 39. Fatwa yang ada hubungan dengan perkara kepentingan nasional.

(1) Walau apa pun kuasa Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 35, bilamana Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan dibuat adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional, Jawatankuasa Fatwa hendaklah menangguhkan perbincangannya tentang fatwa yang dicadangkan itu dan mengemukakan perkara itu kepada Majlis.

(2) Selepas menimbang teliti perkara itu, Majlis boleh membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenannya agar fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, melalui Majlis Raja-Raja.

(3) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), suatu fatwa hendaklah disifatkan berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional jika persoalan itu ada hubungan dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana kementerian, jabatan atau agensinya.

(4) Jika Yang di-Pertuan Agong memberikan perkenannya di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah, sebelum fatwa itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memaklumkan Kerajaan Negeri tentang perujukan itu.

(5) Apabila sesuatu fatwa yang dicadangkan telah dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan nasihat dan syornya kepada Majlis Raja-Raja mengikut subseksyen (2) tentang perkara itu.

(6) Jika Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan atau mengesyorkan supaya fatwa yang dicadangkan itu dibuat, dengan atau tanpa apa-apa ubahsuaian yang disyorkan olehnya, atau menasihatkan atau mengesyorkan suatu fatwa lain tentang perkara yang sama dan Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu, maka Majlis hendaklah menimbangkan nasihat dan syor itu dan sesudah itu boleh menyebabkan supaya fatwa mengikut nasihat dan syor itu disiarkan dalam Warta tanpa apa-apa pindaan atau ubahsuaian, dan peruntukan seksyen 36, kecuali subseksyen 36(7), hendaklah terpakai baginya.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.