ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.


Dalam Enakmen ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain-

"anak dara" maknanya seorang perempuan yang belum pernah berkahwin;

"Amil" maknanya seorang yang dilantik mengikut Enakmen ini untuk mengutip zakat dan fitrah;

"anak mukim" maknanya orang-orang yang tinggal kekal atau biasanya tinggal di dalam mana-mana Mukim Masjid;

"baligh" maknanya seorang yang telah sampai umur mengikut Hukum Syara';

"belanja" maknanya sebahagian wang dan atau barang-barang yang dijanjikan menurut adat tempatan di antara pihak lelaki dan pihak perempuan yang bertunang yang akan dijelaskan sebelum akad nikah;

"fitrah" maknanya satu sukatan beras atau harganya yang wajib dikeluarkan oleh seorang Islam mengikut Hukum Syara';

"habuan" maknanya bahagian atas mana-mana harta atau kumpulanwang yang boleh diambil mengikut Hukum Syara' oleh seseorang kerana kerjanya;

"harta" maknanya sekalian jenis harta-harta, aleh dan takaleh, kepentingan-kepentingan, dan hak-hak berkaitan dengannya dan termasuklah benda-benda seperti hutang piutang;

"harta sepencarian" maknanya pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama di antara suami dan isteri termasuklah pendapatan yang berbangkit daripada modal yang didapati daripada usaha mereka bersama;

"Hukum Syara' " maknanya undang-undang Islam dan mazhab Shafie atau undang-undang dalam mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah diluluskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan atas perkara-perkara yang tertentu untuk dikuatkuasakan dalam Negeri;

"idah" maknanya satu tempuh dalam masa mana seorang perempuan yang telah bercerai atau telah mati suaminya dilarang oleh Hukum Syara' berkahwin lagi;

"janda" maknanya seseorang perempuan yang telah berkahwin dan perkahwinannya telah tamat dengan sebab bercerai atau mati suaminya;

"Juru Nikah" termasuklah seorang Wali Hakim yang mengakadkan satu perkahwinan mengikut Hukum Syara' sebagai mana yang dikehendaki di bawah Enakmen ini;

"Kadi" maknanya seorang kadi yang dilantik mengikut Enakmen ini dan termasuklah Kadi Besar;

"Kadi Besar" maknanya Kadi Besar Negeri yang dilantik mengikut Enakmen ini;

"Kerajaan" maknanya Kerajaan Negeri Pahang;

"mahkamah" maknanya mahkamah-mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini;

"Mahkamah Awam" maknanya mahkamah-mahkamah yang ditubuhkan di bawah undang-undang lain daripada Enakmen ini;

"Mahkamah Ulang Bicara" maknanya mahkamah ulangbicara yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini;

"Majlis" maknanya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu yang ditubuhkan mengikut Enakmen ini;

"Masjid" maknanya sebuah bangunan yang digunakan terutamanya untuk sembahyang Jumaat;

"maskahwin" maknanya bayaran kahwin yang wajib ditentukan, mengikut Hukum Syara' oleh seorang suami kepada isterinya pada masa perkahwinan diakad sama ada dibayar dengan wang tunai atau dengan benda atau dengan berhutang dengan bercagar atau tidak;

"Merinyu Ugama" maknanya pegawai Merinyu Ugama termasuk Pegawai Pentadbir Rendah Hal Ehwal Ugama;

"muallaf" maknanya seorang yang telah memeluk Ugama Islam yang mana sebelumnya itu bukan berugama Islam atau tidak berugama;

"mukim dan mukim masjid" maknanya kawasan yang ditetapkan sempadannya oleh Majlis mengikut Enakmen ini dan di dalamnya terletak sebuah masjid tetapi tidaklah semestinya kawasan itu adalah sama kawasan dengan kawasan di mana-mana mukim mengikut Kanun Tanah Negara;

"mutaah" maknanya pemberian yang wajib atas suami kepada isteri kerana bercerai dengan syarat-syarat yang tertentu mengikut Hukum Syara';

"nafkah" maknanya saraan atau perbelanjaan mengenai makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi tiap-tiap isteri, anak, janda dan orang-orang lain di bawah tanggungan seorang suami atau bekas suami sebagaimana yang diwajibkan oleh Hukum Syara' ke atasnya;

"nazar" maknanya satu perkataan yang dilafazkan hendak mengerjakan sesuatu perbuatan atau hendak memberi wakafkan harta bagi apa-apa maksud yang diluluskan oleh Hukum Syara';

"nazar am" maknanya satu nazar yang dimaksudkan kesemuanya atau sebahagian daripadanya bagi faedah kaum muslimin amnya dan bukanlah bagi seseorang atau orang-orang perseorangan;

"Negeri" maknanya Negeri Pahang;

"orang Islam" maknanya seorang yang berketurunan daripada salah seorang daripada ibu bapanya berugama Islam atau seorang maullaf;

"pegawai masjid' maknanya Imam, Khatib atau Bilal bagi sebuah masjid;

"pegawai pendakwa" maknanya adalah pegawai-pegawai pendakwa yang dimaksudkan dalam seksyen 48 (1) (a), (b) dan (c) pada Enakmen ini;

"pemberian" maknanya wang atau benda-benda yang diberi oleh suami kepada isteri atau isteri kepada suami;

"Pendaftar" maknanya Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk bagi orang Islam dan Timbalan-timbalan Pendaftarnya yang dilantik mengikut Enakmen ini;

"Penghulu" maknanya seorang Penghulu yang ada Tauliah;

"perempuan yang berkahwin" maknanya seorang perempuan yang bersuami dan masih dalam tanggungjawab suami;

"rujuk" maknanya kembali semula suami isteri selepas bercerai, mengikut Hukum Syara';

"taklik" maknanya suatu ikrar atau pengakuan yang dibuat oleh suami selepas akad mengikut seksyen 63 Enakmen ini;

"talaq" maknanya memutuskan perkahwinan dengan cara mengucapkan perkataan-perkataan oleh suami kepada isterinya mengikut Hukum Syara';

"Tauliah" maknanya suatu surat kuasa daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan;

"tebus talaq" maknanya, si isteri memohon bercerai dengan mambuat bayaran yang tertentu kepada suami mengikut Hukum Syara';

"ulama" maknanya seorang warganegara Malaysia yang berugama Islam dan yang tinggal di Negeri ini dan ianya mahir dalam Hukum Syara';

"wakaf am" maknanya wakaf yang berkekalan di atas modal dan pendapatan daripada harta-harta untuk tujuan-tujuan ugama dan khairat yang diakui oleh Hukum Syara' dan harta-harta yang diwakafkan sepertinya itu;

"wakaf khas" maknanya wakaf yang berkekalan di atas modal dan pendapatan daripada harta-harta untuk tujuan-tujuan ugama dan khairat yang diakui oleh Hukum Syara' dan harta-harta yang diwakafkan sepertinya itu, dan pendapatan daripada harta-harta itu yang diberikan kepada orang-orang atau untuk tujuan-tujuan yang ditetapkan di dalam wakaf itu;

"wali" maknanya waris kepada seorang perempuan yang boleh mengkahwinkan dia mengikut Hukum Syara';

"Yang di-Pertua" maknanya Yang di-Pertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang;

"zakat" maknanya sebahagian daripada padi hasil dari menanamnya bagi tiap-tiap tahun dan sebahagian daripada hasil perniagaan, ternakan dan termasuk wang simpanan, mas dan perak mengikut Hukum Syara';




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.