ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 31. Pendaftaran Perkahwinan luar negeri oleh orang yang bermastautin dalam Negeri Sabah

(1) Jika seseorang yang bermastautin dalam Negeri Sabah telah berkahwin di luar negeri dengan sah mengikut Hukum Syarak, bukannya satu perkahwinan yang didaftarkan di bawah seksyen 24; maka orang itu hendaklah, dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu, hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam yang berhampiran sekali atau yang terdapat dengan paling senang di luar negeri untuk mendaftarkan perkahwinan itu, dan perkahwinan itu, setelah didaftarkan, hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Enakmen ini.

(2) Jika sebelum tamat tempoh enam bulan itu salah satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu dijangkakan akan kembali ke Negeri Sabah dan perkahwinan itu belum didaftarkan di luar negeri, maka pendaftaran perkahwinan itu hendaklah dibuat dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai di Negeri Sabah dengan cara pihak itu atau kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Negeri Sabah dan-

(3) Pendaftar boleh mengecualikan satu daripada pihak-pihak itu daripada hadir jika dia berpuas hati bahawa ada sebab-sebab yang baik dan cukup bagi pihak itu tidak hadir dan dalam hal yang demikian catatan dalam Daftar Perkahwinan hendaklah termasuk suatu pernyataan tentang sebab pihak itu tidak hadir.

(4) Selepas sahaja pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini, satu salinan sah catatan dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui dan ditandatangani oleh Pendaftar hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri, dan satu lagi salinan sah yang diperakui hendaklah dihantar, dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan, kepada Ketua Pendaftar yang hendaklah menyebabkan semua salinan yang diperakui itu dijilid bersama untuk menjadi Daftar Perkahwinan Orang Islam Luar Negeri.

(5) Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan yang dikehendaki didaftarkan di bawah seksyen ini tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam tempoh yang dinyatakan dalam subseksyen (1), perkahwinan itu boleh, atas permohonan kepada Pendaftar, didaftarkan kemudian setelah dibayar apa-apa penalti yang ditetapkan.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.