ORDINAN 9 TAHUN 1991
ORDINAN KETERANGAN SYARIAH 1991

BAHAGIAN I - PERKAITAN
BAB II - Qarinah
Pendapat Orang Lain Bila Berkaitan



Seksyen 33. Pendapat pakar.

(1) Apabila Mahkamah perlu membuat sesuatu pendapat atas sesuatu perkara mengenai undang-undang negara asing atau mengenai sains atau seni, atau tentang pengenalan atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari atau tentang bentuk menentukan nasab, maka pendapat atas perkara itu daripada pakar dalam undang-undang negara asing, sains atau seni itu atau dalam soal pengenalan atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari, atau tentang bentuk menentukan nasab adalah qarinah.

(2) Orang yang seumpama itu adalah dinamakan pakar.

(3) Seboleh-bolehnya dua pakar atau lebih hendaklah dipanggil untuk memberi keterangan tetapi jika tidak terdapat dua orang pakar maka keterangan seorang pakar adalah memadai. Jika pendapat dua orang pakar bertentangan, maka pakar yang ketiga hendaklah dipanggil untuk memberi keterangan.

MISALAN


Soalnya ialah sama ada sesuatu dokumen telah ditulis oleh A. Suatu dokumen lain yang dibuktikan atau diakui telah ditulis oleh A dikemukakan.

Pendapat pakar atas soal sama ada kedua-dua dokumen itu telah ditulis oleh satu orang sahaja atau oleh berlainan orang adalah qarinah.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.