ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN MAHKAMAH SYARIAH 2004

BAHAGIAN II - MAHKAMAH SYARIAH
Penubuhan dan Bidang Kuasa



Seksyen 21. Penerusan prosiding dalam Mahkamah Rayuan Syariah walaupun Hakim tiada.

(1) Jika dalam perjalanan apa-apa prosiding dalam suatu rayuan atau dalam hal suatu penghakiman tangguhan atau pada bila-bila masa sebelum pengumuman penghakiman, mana-mana panel atau Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang mendengar prosiding itu tidak dapat, kerana sakit atau apa-apa sebab lain, untuk hadir dan menyelesaikan prosiding itu atau selainnya menjalankan fungsinya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah itu, maka, jika kedua-dua pihak bersetuju, pendengaran prosiding itu hendaklah diteruskan di hadapan, dan penghakiman atau penghakiman tangguhan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah diberi oleh dua orang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang ada itu, dan bagi maksud-maksud prosiding itu, Mahkamah Rayuan Syariah itu hendaklah disifatkan telah ditubuhkan dengan sempurna.

(2) Dalam mana-mana kes seperti yang tersebut dalam subsekyen (1), jika tiada keputusan sebulat suara oleh kedua-dua Hakim yang ada, rayuan itu hendaklah didengar semula.

(3) Jika di bawah subseksyen (1), salah satu pihak atau kedua-dua pihak tidak memberikan persetujuan mereka, atau lebih daripada seorang hakim tidak dapat, kerana sakit atau apa-apa sebab lain, untuk hadir dan menyelesaikan prosiding itu atau selainnya menjalankan fungsi mereka sebagai Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah itu, rayuan itu hendaklah didengar semula.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.