ENAKMEN 4 TAHUN 1994
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN 1994

BAHAGIAN VI - MEMELUK AGAMA ISLAM



Seksyen 102. Pengesahan seseorang Islam.

(1) Tiada seorangpun yang telah diakui beragama Islam boleh mengaku bahawa dia bukan Islam melainkan setelah Mahkamah memberi pengesahan sedemikian.

(2) Sebelum Mahkamah membuat pengesahannya, seseorang itu hendaklah dianggap beragama Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan Agama Islam adalah terkena ke atasnya.

(3) Jika seseorang Islam dengan sengaja cuba sama ada dengan perkataan atau perbuatan hendak keluar dari Agama Islam, Mahkamah bolehlah, jika berpuashati, memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan bagi tujuan pendidikan dan orang itu hendaklah diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak.

(4) Pegawai Penjaga hendaklah menyerahkan laporan kemajuan kepada Mahkamah pada setiap bulan.

(5) Pusat Bimbingan Islam hendaklah diwartakan sebagai Pusat Tahanan di dalam Warta.

Penjelasan

Apa-apa perkara yang dikira murtad hendaklah diputuskan oleh Mahkamah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.