ENAKMEN 5 TAHUN 2001
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (TERENGGANU) 2001

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"aduan" ertinya pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tak diketahui telah melakukan atau bersalah atas suatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim itu di bawah Enakmen ini;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1422H/2001M [
En. Tr. ];

"Enakmen terdahulu" ertinya Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 [
En. Tr. 12/86];

"Hakim " ertinya seseorang Hakim yang dilantik di bawah subseksyen 8 (1) atau 9 (1) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 [
En. Tr. ];

"kesalahan" ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam dan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa;

"kesalahan boleh tangkap" ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Syariah atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran;

"kesalahan tak boleh tangkap" ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Syariah atau pegawai polis tidak boleh menangkap tanpa waran;

"Ketua Hakim Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001;

"Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah" dan "Pegawai Penguatkuasa Syariah" mempunyai erti masing-masing yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Ketua Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang diberikan kepadanya oleh Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001;

"Majlis" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mufti" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Pegawai Masjid" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Peguam Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001;

"Pendakwa" ertinya Ketua Pendakwa Syarie atau Pendakwa Syarie;

"Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"pesalah muda" ertinya seseorang pesalah yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan kurang daripada enam belas tahun;

"saksi" tidaklah termasuk seseorang tertuduh;

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [
Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.