ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1991

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 28. Perlantikan Ketua Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam.

(1) Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk di bawah Enakmen ini.

(2) Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar, Timbalan Pendaftar, atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid dalam Negeri Perlis sebagaimana ditentukan dalam perlantikan itu.

(3) Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah boleh, melalui pemberitahuan dalam
Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(4) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah sub-seksyen (1) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.