ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1991

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 48. Timbangtara oleh Hakam.

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perbalahan berat (shikak) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

(2) Pada melantik Hakam di bawah sub-seksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib kepada pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada Hakam tentang hal menjalankan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankan mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syarak.

(4) Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak puas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam lain bagi menggantikan mereka.

(5) Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talak di hadapan Mahkamah jika dibenarkan sedemikian oleh Mahkamah dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talak itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(6) Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan penceraian oleh kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu dan menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(7) Mana-mana orang atau peguam tidak boleh hadir atau bertindak bagi mana-mana pihak di hadapan Hakam atau selain daripada seorang ahli keluarganya yang karib kepada pihak itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.