ENAKMEN 3 TAHUN 1987
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1987
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Seksyen 20. Tempat berkahwin.
(1) Tiada suatupun perkahwinan boleh diakadnikahkan kecuali dalam mukim masjid di mana pihak perempuan bermastautin, tetapi Pendaftar atau Hakim Syariah yang memberi kebenaran berkahwin di bawah seksyen 17 atau 18 boleh memberi kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan di tempat lain, sama ada dalam Negeri Pahang atau dalam mana-mana Negeri atau dalam Wilayah Persekutuan.
(2) Kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh dinyatakan dalam kebenaran berkahwin yang diberi di bawah sekysen 17 atau 18.
(3) Walau apapun peruntukan subseksyen (1), sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan dalam mukim masjid yang lain daripada mukim masjid di mana pihak perempuan bermastautin jika-
(a) dalam hal di mana perempuan itu bermastautin dalam Negeri Pahang, kebenaran berkahwin mengenai perkahwinan itu telah diberi di bawah seksyen 17 atau 18 dan kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan dalam mukim masjid yang lain telah diberi di bawah subseksyen (1); atau
(b) dalam hal di mana perempuan itu bermastautin dalam sesuatu Negeri atau dalam Wilayah Persekutuan, kebenaran berkahwin mengenai perkahwinan itu dan kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan dalam mukim masjid yang lain telah diberi oleh pihak berkuasa yang hak Negeri itu atau Wilayah Persekutuan.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.