ENAKMEN 5 TAHUN 2005
ENAKMEN WAKAF (NEGERI MELAKA) 2005

BAHAGIAN VIII - KUASA-KUASA MAJLIS



Seksyen 38. Manfaat atau faedah daripada wakaf am atau khas.

(1) Manfaat atau faedah daripada sesuatu wakaf khas, hendaklah digunakan mengikut syarat-syarat yangditentukan oleh waqif melainkan syarat-syarat yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

(2) Manfaat atau faedah daripada tiap-tiap wakaf am hendaklah dibayar kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Wakaf.

(3) Jika, disebabkan berlalu masa atau berlaku perubahan keadaan, syarat bagi mana-mana wakaf tidak dapat secara berfaedah dilaksanakan dengan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh waqif, Majlis hendaklah menyediakan suatu rancangan bagi menggunakan manfaat atau faedah yang terlibat itu dengan suatu cara yang sehampir mungkin yang seakan-akan sama sebagaimana yang dikehendaki oleh waqif, dan hendaklah dilaksanakan sewajarnya:

Dengan syarat Majlis boleh mengarahkan manfaat atau faedah itu ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Wakaf.

(4) Jika syarat mana-mana wakaf adalah sedemikian rupa di mana cara penggunaan harta, manfaat atau faedah tidak dinyatakan, atau tiada ketentuan tentang cara bagaimana ia hendak digunakan, Majlis boleh mengarahkan supaya harta, manfaat atau faedah itu ditambahkan kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Wakaf.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.