ENAKMEN 8 TAHUN 1991
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI MELAKA) 1991
BAHAGIAN 1 - PERKAITAN
BAB 2 - QARINAH
KENYATAAN OLEH ORANG YANG TIDAK BOLEH DIPANGGIL SEBAGAI SAKSI
Seksyen 21. Perkaitan keterangan yang tertentu bagi membuktikan dalam pembicaraan yang terkemudian tentang kebenaran nyataan yang tersebut di dalamnya.
Keterangan yang diberi oleh seseorang saksi dalam suatu pembicaraan kehakiman, di hadapan seseorang
yang dibenarkan oleh undang-undang mengambil keterangan itu adalah berkaitan dalam suatu pembicaraan kehakiman yang kemudian atau pada suatu peringkat yang terkemudian dalam pembicaraan kehakiman itu juga bagi maksud membuktikan kebenaran nyataan yang dinyatakan olehnya, apabila saksi itu telah mati atau tidak dijumpai atau tidak berdaya memberi keterangan atau dihalang memberi keterangan oleh pihak lawannya, ataupun kehadirannya tidak boleh didapatkan tanpa kelengahan atau perbelanjaan yang pada pendapat Mahkamah, tidak berpatutan, memandang kepada keadaan hal itu:
Dengan syarat-
(a)
bahawa pembicaraan itu adalah di antara pihak yang berkenaan itu juga atau wakilnya yang ada kepentingan;
(b)
bahawa pihak lawan di dalam pembicaraan yang pertama itu telah berhak dan berpeluang untuk memeriksa balas; dan
(c)
bahawa masalah yang menjadi soal itu adalah pada isinya sama di dalam pembicaraan yang pertama dengan yang kedua itu.
Huraian-
Sesuatu pembicaraan atau siasatan jenayah hendaklah disifatkan sebagai satu pembicaraan di antara pendakwa dengan orang yang dituduh dalam erti seksyen ini.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.