ENAKMEN 1 TAHUN 1990
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1990

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 8 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 91. Pemeriksaan rahsia.

(1) Pemeriksaan rahsia hendaklah dibuat dengan Surat Rahsia di mana Hakim Syariah menulis nama defendan atau tertuduh dan perkara yang dituntut atau didakwa, juga nama saksi, identiti, pekerjaan, tempat tinggal, bagi memperkenalkan dan menerangkan saksi tersebut dengan cara yang jelas.

(2) Maklumat itu dimasukkan ke dalam satu sampul yang dimeterai dan sampul itu kemudiannya diberikan kepada orang yang dipilih untuk menjadi pemeriksa saksi. Sebaik sahaja sampul itu diterima dan dibaca oleh pemeriksa saksi, ia hendaklah menulis di bawah nama saksi itu perkataan "adil" jika didapati saksi itu adil dan "tidak adil" jika didapati saksi itu tidak adil serta menandatangani dan menghantarkan surat itu kembali kepada Hakim Syariah.

(3) Apabila Surat Rahsia itu dikembalikan kepada Hakim Syariah dan tidak terdapat perkataan "adil" dari pemeriksa saksi tentang saksi tersebut, tetapi terdapat perkataan yang memberi makna tidak adil (jurh) secara jelas atau tersirat, Hakim Syariah bolehlah meminta plaintif atau pendakwa membawa saksi lain.

Huraian - Jika pemeriksa itu menulis "saksi tidak adil", atau ia tidak mengetahui hal-keadaan saksi itu atau keadaannya tidak dapat diketahui atau menulis "Wallahu' a'alam" atau ia tidak menulis apa-apa perkataan, Hakim Syariah tidak boleh menerima keterangan saksi tersebut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.