ENAKMEN 11 TAHUN 2004
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 2004
BAHAGIAN II - PEMBUKTIAN
BAB 3 - KETERANGAN DOKUMENTAR
Dokumen Awam
Seksyen 61. Pembuktian dokumen rasmi tertentu.
(1) Dokumen awam yang berikut bolehlah dibuktikan seperti berikut -
(a) akta, perintah atau pemberitahuan Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri di dalam mana-mana jabatannya -
(i) melalui rekod jabatan itu yang diperakui oleh ketua jabatan itu masing-masing;
(ii) oleh Menteri dalam hal Kerajaan Persekutuan, dan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri, Menteri Negeri (jika ada), atau Setiausaha Kerajaan Negeri dalam hal Kerajaan Negeri; atau
(iii) melalui apa-apa dokumen yang berupa sebagai dicetak dengan kuasa Kerajaan yang berkenaan;
(b) prosiding Parlimen atau badan perundangan mana-mana Negeri, melalui minit mesyuarat badan itu, atau melalui Akta Parlimen, Ordinan, Enakmen atau ringkasan yang disiarkan atau, melalui salinan yang berupa sebagai dicetak dengan kuasa Kerajaan yang berkenaan;
(c) prosiding sesuatu badan perbandaran, lembaga bandaran atau pihak berkuasa tempatan yang lain di Malaysia, melaui suatu salinan prosiding itu yang diperakui oleh penyimpannya yang sah, atau melalui suatu buku bercetak yang berupa sebagai diterbitkan dengan kuasa badan itu;
(d) tindakan Eksekutif atau prosiding badan perundangan sesuatu negara asing, melalui
Warta
yang disiarkan dengan kuasanya atau yang biasanya diterima di negara itu sebagai sedemikian, atau melalui salinan yang diperakui di bawah meterai negara itu atau pemerintah berdaulat, atau melalui suatu pengiktirafan mengenainya dalam sesuatu Ordinan atau Akta Malaysia;
(e) dokumen awam daripada apa-apa jenis lain di sesuatu negara asing, melaui dokumen asal atau melalui salinan yang diperakui oleh penyimpannya yang sah, beserta suatu perakuan yang dimeterai dengan meterai notari awam atau pegawai konsul Malaysia bahawa salinan itu diperakui dengan sewajarnya oleh pegawai yang mempunyai jagaan yang sah ke atas dokumen asal itu dan apabila sifat dokumen itu dibuktikan mengikut undang-undang negara asing itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.