ENAKMEN 5 TAHUN 1990
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1990

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 47. Cerai dengan darar dan syikak dan melantik Hakam sebagai timbangtara.

(1) Apabila seseorang suami telah melakukan sebarang penganiayaan ke atas isteri atau menyakiti atau melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badan atau kehormatan atau harta benda isteri sama ada dengan perkataan atau perbuatan dan isteri itu tidak sanggup untuk hidup bersama dan meneruskan perhubungan sebagai suami isteri, bolehlah isteri itu mengadu menuntut cerai kepada Mahkamah dan manakala sabit aduannya dan Mahkamah gagal mendamaikan di antara kedua-duanya, Mahkamah bolehlah menjatuhkan hukum cerai dengan satu Talak Ba'in.

(2) Jika didapati bahawa aduan isteri itu tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah dengan sebab ia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan kemudian daripada itu isteri berulang-ulang membuat aduan yang sama dan Mahkamah mendapati pertikaian sentiasa berlaku di antara suami isteri tersebut, Mahkamah bolehlah melantik dua orang Hakam yang layak dan berkebolehan dalam perkara timbangtara seorang bagi pihak suami dan seorang bagi pihak isteri mengikut Hukum Syarak.

(3) Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (2) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(4) Mahkamah boleh memerintahkan kepada Hakam itu berkenaan cara-cara menjalankan perdamaian atau penyelesaian dan hendaklah Hakam itu menyempurnakan perintah-perintah itu mengikut Hukum Syarak menjalankan penyiasatan untuk mengetahui sebab-sebab syikak atau punca pertikaian antara suami isteri itu, dan hendaklah berusaha bersungguh-sungguh pada mendamaikan kedua-dua hingga berjaya.

(5) Hakam yang dilantik hendaklah berusaha mendapat kuasa penuh daripada kedua belah pihak-


dan mana-mana satu tindakan yang diambil, hendaklah dibuat di hadapan Mahkamah yang akan merekodkan tindakan tersebut sewajarnya dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakuinya kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(6) Jika didapati bahawa Hakam-hakam itu tidak semuafakat dan berlaku pertentangan pendapat di antara satu dengan lain, Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya kedua-duanya mengulangi usaha mereka dan jika sekiranya kemudian daripada itu didapati pertentangan di antara mereka masih berlaku, Mahkamah hendaklah memecat kedua-duanya dan melantik Hakam-hakam yang lain.

(7) Jika didapati bahawa syikak atau pertikaian antara suami isteri itu tidak dapat didamaikan, dan Hakam-hakam mengetahui bahawa syikak atau pertikaian itu berpunca daripada suami atau daripada kedua-duanya atau tidak diketahui daripada mana-mana pihak dan Hakam-hakam itu berpendapat sukar mencapai perdamaian, hendaklah Hakam-hakam itu membuat keputusan cerai dengan satu Talaq Ba'in tanpa 'iwadh dan dirujukkan kepada Mahkamah dan Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut keputusan Hakam-hakam tersebut.

(8) Jika didapati bahawa perkara syikak atau pertikaian itu berpunca daripada pihak isteri dan tiada harapan untuk didamaikan melainkan dengan cerai dan tiada halangan daripada suami, Hakam-hakam tersebut hendaklah membuat keputusan cerai satu Talaq Ba'in dengan Khulu', keputusan tersebut dirujukkan ke pengetahuan Mahkamah dan Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman menurut keputusan Hakam-hakam.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.