ENAKMEN 12 TAHUN 1986
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986

BAHAGIAN II - PERLANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI DAN PENUBUHAN MAJLIS



Seksyen 25. Fatwa.

(1) Mana-mana orang boleh, dengan surat yang dialamatkan kepada Pesuruhjaya, meminta Majlis supaya mengeluarkan fatwa atau kaedah pengertian di atas apa-apa perkara mengenai Hukum Syara' atau adat Melayu.

(2) Apabila diterima permintaan sedemikian maka hendaklah Pesuruhjaya, jika perkara itu mengenai Hukum Syara', menghantarkan permintaan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Fatwa atau, jika perkara itu mengenai adat Melayu, kepada Majlis.

(3) Jawatankuasa Fata atau Majlis, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah menimbang tiap-tiap permintaan yang demikian itu dan hendaklah menyediakan draf fatwa atau kaedah pengertian yang diminta itu, melainkan jika ditimbangkan bahawa perkara itu dangkal atau, atas sebab lain yang munasabah, tidak payah dijawab.

(4) Walau apa pun peruntukan subseksyen (3), jika Mufti, dalam hal sesuatu perkara Hukum Syara', dengan persetujuan Pesuruhjaya memikirkan perkara yang dihadapkan itu adalah perkara kecil, maka bolehlah Mufti memberi jawapan di atas perkara itu bagi pihak Jawatankuasa Fatwa.

(5) Jika, dalam perkara yang mengenai Hukum Syara', Jawatankuasa Fatwa tidak dapat membuat keputusan, maka perkara itu hendaklah dipanjangkan kepada Majlis untuk apa-apa pandangannya yang kemudiannya hendaklah dirujukkan kembali kepada Jawatankuasa Fatwa bagi membuat keputusan.

(6) Apabila fatwa atau kaedah pengertian disediakan, maka hendaklah Pesuruhjaya menghantarkannya kepada orang yang membuat permintaan itu.

(7) Majlis boleh pada bila-bila masa dengan kehendaknya sendiri membuat dan mengisytiharkan apa-apa fatwa atau kaedah pengertian.

(8) Jika pada bila-bila masa jua Majlis berpendapat bahawa, untuk kemuslihatan orang-orang Islam amnya, sesuatu fatwa atau kaedah pengertian yang telah disediakan itu patut ditimbangkan semula, maka Majlis hendaklah memanjangkan perkara itu kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah mengambil apa-apa tindakan yang difikirkan oleh Baginda patut dan membuat keputusan berhubung dengannya.

(9) Pesuruhjaya pada bila-bila masa boleh menyiarkan sesuatu fatwa atau kaedah pengertian yang disampaikan kepadanya oleh Jawatankuasa Fatwa atau Majlis atas apa-apa perkara berhubung dengan Hukum Syara' atau adat Melayu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.