ENAKMEN 2 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM 1992

BAHAGIAN IV - MAHKAMAH SYARIAH



Seksyen 51. Penerusan prosiding Mahkamah Rayuan Syariah dalam keadaan tertentu.

(1) Jika dalam perjalanan apa-apa prosiding dalam suatu rayuan atau bila-bila masa sebelum diumumkan penghakiman, salah seorang anggota Mahkamah Rayuan Syariah yang mendengar prosiding itu tiada upaya hadir menyelesaikan prosiding disebabkan sakit atau sebab-sebab yang lain atau sebaliknya tidak dapat menjalankan tugas sebagai anggota Mahkamah itu, prosiding itu hendaklah, jika kedua pihak bersetuju, diteruskan dan penghakiman atau penghakiman yang ditangguh, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah diberi oleh dua orang anggota Mahkamah yang ada itu dan Mahkamah hendaklah bagi maksud rayuan, dianggap telah sepenuhnya dianggotai walau pun ketidakhadiran atau ketidakupayaan anggota yang tertentu itu.

(2) Dalam mana-mana kes seperti yang tersebut di bawah subseksyen (1), rayuan hendaklah diputuskan oleh anggota-anggota Mahkamah yang ada itu dan jika tiada keputusan sebulat suara rayuan hendaklah didengar semula.

(3) Jika di bawah subseksyen (1) kedua-dua pihak tiada memberi persetujuan, atau lebih daripada seorang anggota Mahkamah tidak berupaya, disebabkan sakit atau sebab-sebab lain bagi menghadiri atau menyelesaikan prosiding atau sebaliknya tiada upaya menjalankan tugasnya sebagai anggota Mahkamah itu, rayuan itu hendaklah didengar semula.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.