ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 48. Timbang tara oleh Hakam

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perbalahan (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbang tara atau Hakam untuk bertindak masing-masing bagi pihak suami dan isteri itu.

(2) Dalam melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberikan keutamaan kepada saudara-saudara terdekat pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberikan arahan kepada Hakam tentang hal menjalankan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan itu dan Hukum Syarak.

(4) Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak berpuas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam lain bagi menggantikan mereka.

(5) Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan sedemikian oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar suatu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(6) Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan penceraian kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberikan kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu dan menghantar salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(7) Melainkan jika dia ialah anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada seorang pun atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.