ORDINAN 43 TAHUN 2001
ORDINAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM, 2001

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 52. Anggapan mati.

(1) Jika suami mana-mana perempuan telah mati, atau dipercayai telah mati, atau telah tidak didengar perkhabaran mengenainya bagi suatu tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu sehingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, dianggap mengikut Undang-Undang Islam sebagai telah mati, maka Mahkamah boleh, atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa siasatan yang wajar, mengeluarkan dalam bentuk yang ditetapkan suatu perakuan anggapan mati suami dan Mahkamah boleh, atas permohonan perempuan itu, membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 51.

(2) Suatu perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah disifatkan sebagai perakuan kematian suami itu dalam erti seksyen 12 (4) (b).

(3) Suatu perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah didaftarkan seolah-olah perakuan itu telah mewujudkan perceraian.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.