ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN VI - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB XXVII - ORANG TAK SEMPURNA AKAL



Seksyen 211. Prosedur di mana orang yang tertuduh disyaki tak sempurna akal.

(1) Apabila Hakim yang menjalankan perbicaraan mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa orang yang dituduh adalah tak sempurna akal dan akibatnya tidak berupaya membela dirinya, dia hendaklah menyiasat dahulu tentang fakta ketidak sempurnaan akal itu.

(2) Dalam penyiasatan tersebut, adalah tidak perlu orang yang dituduh hadir, dan Hakim boleh menerima sebagai keterangan suatu perakuan bertulis yang ditandatangani oleh Pegawai Perubatan yang mengatakan pada pendapatnya orang yang dituduh itu tidak sempurna akal, atau adalah seorang yang patut untuk ditahan di hospital mental untuk pemerhatian, atau jika difikirkan patut oleh Hakim, bolehlah dia mengambil keterangan lisan daripada Pegawai Perubatan berkenaan keadaan akal orang yang tertuduh itu.

(3) Jika tidak berpuas hati bahawa orang sedemikian itu berupaya membela dirinya, Hakim hendaklah menangguhkan perbicaraan itu dan hendaklah menahan orang itu untuk satu tempoh tidak melebihi daripada satu bulan di mana-mana hospital mental yang ditubuhkan dalam Persekutuan untuk pemerhatian.

(4) Penguasa Perubatan hospital mental hendaklah menyimpan orang itu di bawah perhatian semasa dalam tempoh penahanannya dan sebelum tamat tempoh itu, hendaklah memperakui secara bertulis kepada Mahkamah pendapatnya berkenaan dengan keadaan akal orang itu, dan jika dia tidak dapat dalam tempoh itu memberi apa-apa rumusan yang tepat, hendaklah memperakuinya kepada Mahkamah dan hendaklah meminta perlanjutan tahanan. Tahanan lanjutan itu boleh mencapai hingga tempoh dua bulan.

(5) Ketua Pendakwa Syarie boleh, pada mana-mana peringkat mana-mana prosiding sebelum perbicaraan itu, mengarahkan mana-mana orang yang dituduh yang dia syaki tak sempurna akal dihantar ke hospital mental untuk pemerhatian bagi tempoh tidak lebih daripada satu bulan. Penguasa Perubatan hospital mental berkenaan hendaklah menyimpan orang itu di bawah pemerhatiannya dalam tempoh tersebut dan sebelum tamat tempoh itu ia hendaklah memperakukan pendapatnya secara bertulis kepada Ketua Pendakwa Syarie, berkenaan keadaan akal orang itu. Jika Penguasa Perubatan itu tidak dapat memberi apa-apa rumusan yang tepat dalam tempoh tersebut dia hendaklah memperakukannya kepada Ketua Pendakwa Syarie dan Ketua Pendakwa Syarie boleh memerintahkan supaya orang itu ditahan dalam hospital mental untuk suatu tempoh lanjut tidak melebihi dua bulan. Penguasa Perubatan hospital mental boleh, walau apa pun yang terkandung dalam Ordinan Sakit Otak 1952, menahan mana-mana orang yang dituduh yang berkenaannya sesuatu perintah telah dibuat di bawah subseksyen ini bagi sesuatu tempoh yang tidak melebihi tempoh yang ditetapkan dalam perintah itu.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.