ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN MAJLIS UGAMA ISLAM NEGERI SABAH 2004

BAHAGIAN III - KEWANGAN
Tatacara Kewangan Majlis



Seksyen 46. Anggaran pendapatan dan belanjawan

(1) Setiausaha hendaklah tidak lewat dari sebulan sebelum permulaan tiap-tiap tahun kewangan, mengemukakan kepada Majlis suatu anggaran pendapatan dan perbelanjaan Kumpulan Wang termasuk perbelanjaan modal bagi tahun berikutnya dalam bentuk dan mengandungi butir sebagaimana diarah oleh Majlis.

(2) Suatu salinan anggaran demikian hendaklah dihantar kepada tiap-tiap ahli Majlis tidak lewat dari empat belas hari terdahulu daripada mesyuarat di mana anggaran itu akan dikemukakan.

(3) Majlis hendaklah, menyediakan dan menyembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, tidak lewat daripada 31 haribulan Oktober dalam setiap tahun, anggaran kesemua pendapatan dan perbelanjaan Majlis, termasuk anggaran segala harta dan segala barang boleh lupus, berkenaan dengan tahun yang berikutnya.

(4) Yang di-Pertua Negeri, atas nasihat Menteri, boleh meluluskan anggaran itu atau boleh mengarahkan supaya ia dipinda.

(5) Anggaran yang diluluskan, dengan atau tanpa pindaan di bawah subseksyen (4), hendaklah disiarkan daIam Warta. Majlis boleh pada bila-bila masa menyembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri anggaran perbelanjaan tambahan berkenaan dengan tahun semasa, atau, pada bila-bila masa sebelum 31 haribulan Mac dalam mana-mana tahun, berkenaan dengan tahun yang sebelumnya, dan anggaran itu boleh diluluskan atau dipinda, dan hendaklah disiarkan, mengikut subseksyen (4) dan (5).

(6) Tiada wang boleh dibelanjakan, atau harta dilupuskan dalam bentuk barang, kecuali mengikut anggaran yang diperuntukkan dalam seksyen ini dan dengan berdasarkan baucar yang ditandatangani oleh Pengerusi atau Setiausaha atau mana-mana pegawai Majlis atau mana-mana pegawai lain yang diberi kuasa oleh Pengerusi.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.