ENAKMEN 3 TAHUN 1987
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1987

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN



Seksyen 16. Permohonan untuk kebenaran berkahwin.


(1) Apabila bertujuan untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan dalam Negeri Pahang, tiap-tiap satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar mukim masjid di mana pihak perempuan itu bermastautin.

(2) Jika pihak lelaki bermastautin di mukim masjid yang berlainan daripada mukim masjid pihak perempuan, atau bermastautin di mana-mana Negeri atau di Wilayah Persekutuan, permohonannya hendaklah mengandungi atau disertai dengan kenyataan Pendaftar mukim masjidnya atau oleh pihak berkuasa yang hak Negeri itu atau Wilayah Persekutuan, mengikut mana yang berkenaan, yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikannya perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar.

(3) Permohonan tiap-tiap satu pihak hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang dicadangkan bagi perkahwinan itu, tetapi Pendaftar boleh membenarkan masa yang lebih singkat dalam mana-mana kes tertentu.

(4) Permohonan kedua-dua pihak hendaklah dianggap sebagai suatu permohonan bersama.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.