ORDINAN 43 TAHUN 2001
ORDINAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM, 2001

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 26. Pelantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju' Orang Islam.

(1) Yang di-Pertua Negeri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Ordinan ini di negara itu.

(2) Majlis boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Ordinan ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan am ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian dan ruju' di bawah Ordinan ini.

(3) Ketua Pendaftar, dengan kelulusan Majlis, boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar, Timbalan Pendaftar atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid dalam Negeri sebagaimana yang ditentukan dalam pelantikan itu.

(4) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (3) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan [Akta 574].




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.