ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992
BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB X - DARIHAL PERBICARAAN
Seksyen 99. Prosedur semasa perbicaraan.
Prosedur seperti berikut hendaklah diikuti oleh Hakim semasa perbicaraan
----
(a)
apabila orang yang dituduh menghadirkan diri atau dibawa ke hadapan Mahkamah pertuduhan yang mengandungi butir-butir kesalahan yang dia dituduh itu hendaklah dirangka, dibaca dan diterangkan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya sama ada dia bersalah atas kesalahan yang dipertuduhkan itu atau meminta untuk dibicarakan;
(b)
jika orang yang dituduh itu mengaku salah atas pertuduhan itu sama ada atas pertuduhan asal yang dirangka atau yang dipinda, pengakuan itu hendaklah direkodkan dan dengan itu dia boleh disabitkan ke atasnya:
Dengan syarat bahawa sebelum direkodkan pengakuan salah itu Mahkamah hendaklah menentukan orang yang dituduh itu faham akan sifat dan akibat daripada pengakuannya itu dan dia mengaku, tanpa bersyarat, terhadap kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya, dan dia membuat pengakuan bersalah itu sekurang-kurangnya tiga kali di hadapan Hakim dan tidak menarik balik pengakuan itu:
Dengan syarat selanjutnya bahawa di dalam kes zina pengakuan bersalah itu hendaklah dibuat sekurang-kurangnya empat kali;
(c)
jika orang yang dituduh enggan mengaku salah atau tidak mengaku salah atau meminta dibicarakan, Mahkamah hendaklah terus mendengar keterangan pengadu (jika ada) dan mengambil semua keterangan sebagaimana yang boleh dikemukakan bagi menyokong pendakwaan itu;
(d)
jika Mahkamah fikirkan perlu, ia hendaklah mengambil daripada pengadu atau orang lain nama-nama orang yang mungkin mengetahui tentang fakta-fakta kes itu dan yang boleh memberi keterangan bagi pihak pendakwaan dan hendaklah menyaman mereka itu untuk memberi keterangan di Mahkamah sebagaimana yang difikirkan perlu;
(e)
orang yang dituduh atau Peguam Syarienya hendaklah dibenarkan menyoal balas semua saksi bagi pihak pendakwaan;
(f)
jika selepas daripada mengambil semua keterangan tersebut, Mahkamah mendapati bahawa tidak ada kes terhadap orang yang dituduh itu, yang membolehkan pensabitannya, Mahkamah hendaklah mencatatkan perintah pembebasan;
(g)
tiada apa-apa dalam perenggan
(f)
boleh disifatkan menghalang Mahkamah daripada melepaskan tertuduh pada mana-mana peringkat perbicaraan jika, atas alasan yang direkodkan oleh Mahkamah, ia menimbangkan pertuduhan itu sebagai tidak berasas;
(h)
jika setelah mengambil keterangan itu, Mahkamah berpendapat ada alasan untuk menganggap bahawa orang yang dituduh itu telah melakukan kesalahan seperti yang dipertuduhkan itu, orang yang tertuduh hendaklah kemudiannya dipanggil untuk membela dirinya dan memberi keterangannya, dan hendaklah pada bila-bila masa apabila membuat pembelaannya dibenarkan memanggil semula dan menyoal balas mana-mana juga saksi melalui Hakim;
(i)
jika pertuduhan itu dipinda ia hendaklah dibacakan kepada orang yang dituduh sebagaimana dipinda itu dan dia hendaklah ditanya balik sama ada dia bersalah atau ada apa-apa pembelaan untuk dibangkitkan;
(j)
jika orang yang dituduh itu tidak mengaku salah terhadap pertuduhan sebagaimana dipinda atau jika tidak ada pindaan yang dibuat, orang yang dituduh hendaklah dipanggil untuk membela dirinya dan mengemukakan keterangannya, dan hendaklah pada bila-bila masa semasa dia membuat pembelaannya dibenarkan memanggil semula dan memeriksa balas mana-mana juga saksi yang hadir dalam Mahkamah atau kawasannya;
(k)
jika dipanggil pembelaannya, orang yang dituduh boleh menyatakan pembelaannya secara ringkas kepada Mahkamah dan selepas itu boleh:
(i) memberi keterangan-keterangan dengan bersumpah bagaimana yang terkandung seperti Borang 7 dalam Jadual 1 dan dia boleh diperiksabalas, tetapi hendaklah tidak disoal mengenai kelakuannya atau lain-lain kesalahan yang tidak dipertuduhkan; atau
(ii) boleh memberi keterangan dengan tidak bersumpah dalam mana ianya tidak boleh diperiksa-balas; atau
(iii) boleh berdiam diri;
(l)
jika orang yang tertuduh itu memberi apa-apa pernyataan bertulis Mahkamah hendaklah memfailkan pernyataan itu bersama-sama dengan rekodnya;
(m)
(i) jika orang yang tertuduh memohon kepada Mahkamah supaya mengeluarkan saman untuk meminta kehadiran mana-mana saksi (sama ada ia telah atau belum diperiksa berkenaan dengan kes itu sebelumnya) untuk tujuan diperiksa atau untuk mengemukakan sebarang dokumen atau barang lain, Mahkamah hendaklah mengeluarkan saman melainkan jika ia menimbangkan bahawa permohonan yang seumpamanya itu patut ditolak atas alasan bahawa ianya dibuat dengan tujuan mengganggu atau melambatkan atau menjejaskan matlamat keadilan. Alasan itu hendaklah direkodkan secara bertulis;
(ii) Mahkamah bolehlah, sebelum menyaman mana-mana juga saksi atas permohonan yang seumpama itu, menghendaki supaya perbelanjaan yang munasabah untuk kehadiran saksi-saksi itu bagi tujuan pembicaraan itu didepositkan ke dalam Mahkamah;
(n)
(i) jika Mahkamah mendapati orang yang dituduh tidak bersalah, Mahkamah hendaklah merekodkan satu perintah pembebasan;
(ii) jika Mahkamah mendapati orang yang dituduh bersalah atau jika pengakuan salahnya telah direkodkan dan diterima Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang;
(o)
apabila prosiding yang telah dijalankan itu berpunca daripada aduan seseorang yang dibuat dengan jalan ikrar yang dibuat di bawah seksyen 73 dan pada hari yang ditetapkan untuk pembicaraan kes itu pengadu tidak hadir, Mahkamah boleh atas budibicaranya, walau apapun yang diperuntukan terdahulu daripada ini, melepaskan orang yang dituduh itu;
(p)
jika orang yang dituduh itu tidak hadir pada masa dan tempat yang disebutkan dalam saman itu dan Mahkamah berpendapat yang saman itu telah disampaikan dengan sempurnanya dalam masa yang munasabah sebelum masa yang ditetapkan untuk hadir dan tidak ada sebab yang mencukupi dikemukakan untuk penangguhan, Mahkamah bolehlah sama ada meneruskan pembicaraan itu
ex-parte
dan memutuskan aduan itu atau menangguhkan pembicaraan itu ke suatu hari atau mengeluarkan waran tangkap untuk memaksa kehadirannya.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.