ENAKMEN 16 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI JOHOR) 2003

BAHAGIAN VI - KEWANGAN
Baitulmal dan Tatacara Kewangan Majlis



Fasal 82. Anggaran pendapatan dan belanjawan.

(1) Majlis hendaklah, menyediakan dan membentangkan kepada Raja-dalam-Mesyuarat, tidak lewat daripada 31 haribulan Oktober dalam setiap tahun, anggaran kesemua pendapatan dan perbelanjaan Majlis, termasuk anggaran segala harta dan segala barang boleh lupus, berkenaan dengan tahun yang berikutnya.

(2) Raja-dalam-Mesyuarat, selepas berunding dengan Majlis, boleh meluluskan anggaran itu atau boleh mengarahkan supaya ia dipinda.

(3) Anggaran yang diluluskan, dengan atau tanpa pindaan di bawah subseksyen (2), hendaklah disiarkan dalam Warta.

(4) Majlis boleh pada bila-bila masa mengemukakan kepada Raja-dalam-Mesyuarat anggaran perbelanjaan tambahan berkenaan dengan tahun semasa, atau, pada bila-bila masa sebelum 31 haribulan Mac dalam mana-mana tahun, berkenaan dengan tahun yang sebelumnya, dan anggaran itu boleh diluluskan atau dipinda, dan hendaklah disiarkan, mengikut subseksyen (2) dan (3).

(5) Tiada wang boleh dibelanjakan, atau harta dilupuskan dalam bentuk barang, kecuali mengikut anggaran yang diperuntukkan dalam seksyen ini dan dengan berdasarkan baucer yang ditandatangani oleh Pengerusi atau mana-mana pegawai Majlis atau mana-mana pegawai lain yang diberi kuasa oleh Pengerusi.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.