ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN JENAYAH (SYARIAH) 1992

BAHAGIAN V - PELBAGAI KESALAHAN BERHUBUNGAN DENGAN KEADILAN DAN KETENTERAMAN AWAM



Seksyen 27. Memberi keterangan, maklumat atau pernyataan palsu.

(1) Sesiapa yang dengan sengaja memberi keterangan palsu, atau mereka keterangan palsu bagi maksud digunakan pada mana-mana peringkat prosiding kehakiman, adalah bersalah atas suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Sesiapa yang tahu atau yang ada sebab untuk mempercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan, memberi apa-apa maklumat berhubungan dengan kesalahan itu, yang dia tahu atau percaya sebagai palsu, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(3) Sesiapa yang memberi maklumat atau pernyataan palsu sama ada secara lisan atau bertulis mengenai apa-apa perkara yang berhubungan dengan mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan dengan Agama Islam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.