ENAKMEN 12 TAHUN 1985
ENAKMEN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN KELUARGA ISLAM

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 31. Pendaftaran sukarela perkahwinan-perkahwinan orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana undang-undang.

(1) Walau apa pun peruntukan seksyen 5 dan 29, pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan mengikut Hukum Syara' yang diakadnikahkan di bawah mana-mana undang-undang sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan boleh, jika perkahwinan itu belum didaftarkan, memohon pada bila-bila masa kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk didaftarkan perkahwinan itu.

(2) Pendaftar boleh menghendaki pihak-pihak kepada perkahwinan itu hadir di hadapannya dan mengemukakan apa-apa keterangan yang dikehendakinya mengenai perkahwinan itu, sama ada lisan atau dokumentar, dan memberi apa-apa butir lain sebagaimana yang dikehendaki olehnya.

(3) Pendaftar boleh, setelah berpuas hati tentang kebenaran pernyataan-pernyataan yang terkandung dalam permohonan itu, mendaftarkan perkahwinan itu dengan mencatatkan butir-butir mengenainya dalam Daftar Perkahwinan yang ditetapkan bagi maksud ini.

(4) Catatan perkahwinan dalam Daftar Perkahwinan itu hendaklah ditandatangani oleh Pendaftar yang membuat catatan itu dan oleh kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu, jika dapat hadir, atau, jika tidak, oleh pihak yang hadir di hadapan Pendaftar.

(5) Selepas perkahwinan itu didaftarkan, satu salinan catatan dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui dan ditandatangani oleh Pendaftar dan dimeterai dengan meterai jawatannya hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri dan satu salinan ketiga hendaklah dihantar kepada Ketua Pendaftar.

(6) Pendaftar tidak boleh mendaftarkan sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini jika dia berpuas hati bahawa perkahwinan itu adalah tidak diakui di bawah Enakmen ini.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.