Tr. P.U. 4/2002
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M

BAHAGIAN III



Seksyen 7. Qazaf.

(1) Qazaf ialah membuat tuduhan zina yang tidak dibuktikan oleh empat orang saksi lelaki terhadap seseorang islam yang mukallaf dan dikenali sebagai seorang yang bersih diri daripada kelakuan zina.

(2) Qazaf juga boleh dilakukan dengan membuat suatu pernyataan dengan cara yang nyata seperti menyatakan bahawa seseorang tertentu telah melakukan zina atau dengan cara tersirat seperti menyatakan bahawa seseorang itu bukannya bapa ataupun bukannya anak kepada seseorang yang tertentu.

(3) Pernyataan di bawah subseksyen (2) adalah dianggapkan sebagai qazaf melainkan ia dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki, dan jika pernyataan itu tidak boleh dibuktikan sedemikian maka orang yang membuat tuduhan itu adalah melakukan kesalahan qazaf; tetapi sekiranya pernyataan itu dibuktikan, maka orang yang terhadapnya kenyataan itu dibuat adalah melakukan kesalahan zina.

(4) Sesuatu pernyataan di bawah subseksyen (2) adalah di anggap tidak terbukti, sekiranya seseorang atau beberapa orang saksi yang berempat yang dipanggil untuk memberi keterangan menyokong pernyataan itu enggan memberi keterangan itu atau jika keterangan itu diberi tetapi keterangan itu bercanggah dengan pernyataan itu; dan dalam hal yang seperti itu maka tiap-tiap orang saksi yang memberi keterangan yang menyokong pernyataan itu hendaklah dianggapkan telah melakukan kesalahan qazaf.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.