ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN IV - KESALAHAN
Darihal kesalahan mengenai kehormatan diri



Seksyen 61. Percubaan persetubuhan haram.

(1) Mana-mana orang yang melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Huraian 1-Seseorang lelaki yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat di mana-mana tempat dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya selain daripada isterinya adalah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen ini.

Huraian 2
-Seseorang perempuan yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat di mana-mana tempat dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya selain daripada suaminya adalah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen ini.

Huraian 3
-Seseorang lelaki yang didapati bersama-sama dengan lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau bukan mahramnya di tempat yang sunyi atau di dalam sebuah bilik mana-mana bangunan atau di tempat yang terasing dalam keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat adalah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen ini.

Huraian 4
-Seseorang perempuan yang didapati bersama-sama dengan lebih daripada seorang lelaki yang bukan suaminya atau bukan mahramnya di tempat yang sunyi atau di dalam sebuah bilik mana-mana bangunan atau di tempat yang terasing dalam keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat adalah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen ini.

(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana perempuan yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen ini dimasukkan ke suatu pusat pemulihan akhlak selama suatu tempoh tidak melebihi dua tahun.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.