ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 4 - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN KHAS BERHUBUNG DENGAN KETERANGAN



Seksyen 192. Prosedur apabila orang yang boleh memberi keterangan material sakit teruk.

(1) Apabila didapati oleh seorang Hakim bahawa mana-mana orang yang boleh memberi keterangan material sama ada bagi pihak Pendakwa atau pihak pembela, berhubung dengan kesalahan boleh tangkap, sakit begitu teruk sehingga tidak praktik untuk mengambil keterangannya mengikut penjalanan biasa undang-undang, Hakim itu boleh mengambil deposisi orang tersebut dengan syarat notis yang munasabah sebagaimana yang boleh diberi dalam keadaan kes itu telah diberi kepada Pendakwa dan tertuduh tentang niat untuk mengambil deposisi itu serta masa dan tempat yang Hakim itu bercadang untuk mengambilnya.

(2) Jika tertuduh berada dalam jagaan, Hakim boleh memerintahkan pegawai penguasa penjara menghantar tertuduh ke tempat itu, pada waktu yang telah diberitahu dan pegawai tersebut hendaklah menghantarkannya seperti yang diperintahkan itu.

(3) Bila telah dibuktikan dalam perbicaraan tertuduh tersebut bagi mana-mana kesalahan di mana deposisi itu berkaitan bahawa deponen itu telah mati atau bahawa atas apa-apa sebab yang mencukupi kehadirannya tidak dapat diperolehi, deposisinya bolehlah dibaca sama ada bagi pihak atau terhadap tertuduh, walau apa pun dia tidak hadir ketika deposisi itu diambil, jika deposisi itu diperakui di bawah tandatangan Hakim yang mengambilnya dan tidak dibuktikan sebaliknya, atau jika dapat ditunjukan oleh keterangan extrinsik bahawa deponen memang pada masa pemeriksaan itu sakit teruk sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini dan bahawa deposisi itu telah diambil dengan wajarnya di tempat dan pada masa yang telah diberitahukan dan bahawa notis munasabah tentang niat untuk mengambil deposisi itu telah diberi kepada orang yang terhadapnya keterangan itu dikemukakan, supaya dia atau Peguam Syarienya boleh hadir dan, jika dia memilih untuk hadir, mungkin boleh mendapat peluang sepenuhnya untuk memeriksa balas.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.