ENAKMEN 13 TAHUN 2003
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN V - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 5 - PERUNTUKAN AM TENTANG PERBICARAAN



Seksyen 107. Kuasa untuk menangguhkan atau menunda perbicaraan

(1) Jika, menjadi perlu atau patut untuk menangguhkan permulaan perbicaraan atau menunda apa-apa perbicaraan oleh sebab seseorang saksi tidak hadir atau apa-apa sebab yang munasabah yang lain, Mahkamah boleh, dari semasa ke semasa, menangguhkan atau menundanya atas apa-apa terma yang difikirkannya patut bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya munasabah dan boleh, melalui waran, menahan tertuduh jika dia dalam jagaan:

Dengan syarat bahawa tiada Hakim boleh menahan seseorang tertuduh dalam jagaan di bawah seksyen ini selama tempoh melebihi lapan hari pada setiap kali:

Dengan syarat selanjutnya bahawa jika seseorang Pegawai Perubatan Kerajaan telah memperakui bahawa pengadu tidak akan dapat memberikan keterangan sebelum sesuatu tarikh tertentu, tertuduh boleh ditahan sehingga ke tarikh itu walaupun tempoh tahanan mungkin melebihi lapan hari.

(2) Tiap-tiap perintah yang dibuat di bawah seksyen ini oleh Mahkamah hendaklah secara bertulis, ditandatangani oleh Hakim yang menjalankan perbicaraan itu, dan hendaklah menyatakan sebab-sebab baginya.

Huraian—Jika keterangan yang mencukupi telah diperoleh untuk menimbulkan syak bahawa tertuduh mungkin telah melakukan suatu kesalahan yang ternyata ada kemungkinan bahawa keterangan selanjutnya boleh didapati melalui penahanan, maka ini suatu sebab yang munasabah bagi penahanan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.