ENAKMEN 12 TAHUN 1985
ENAKMEN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN KELUARGA ISLAM

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Permulaan kepada Perkahwinan



Seksyen 14. Permohonan untuk kebenaran berkahwin.

(1) Apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan di Terengganu, tiap-tiap satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar bagi mukim di mana pihak perempuan itu bermastautin.

(2) Jika pihak lelaki bermastautin di mukim yang berlainan dari mukim pihak perempuan, atau bermastautin di mana-mana Negeri lain, permohonannya hendaklah mengandungi atau disertai dengan kenyataan dari Pendaftar bagi mukimnya atau dari pihak berkuasa yang hak bagi Negeri lain itu, mengikut mana yang berkenaan, yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikan perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar.

(3) Permohonan tiap-tiap satu pihak hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang dicadangkan bagi perkahwinan itu, tetapi Pendaftar boleh membenarkan masa yang lebih singkat dalam mana-mana kes tertentu.

(4) Permohonan kedua-dua pihak hendaklah dianggap sebagai suatu permohonan bersama.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.