ORDINAN 43 TAHUN 2001
ORDINAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM, 2001

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 31. Pendaftaran perkahwinan sukarela bagi orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana undang-undang.

(1) Walau apa pun seksyen 5 dan 29, pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan mengikut Undang-Undang Islam yang diakadnikahkan di bawah mana-mana undang-undang sebelum atau selepas tarikh ditetapkan boleh, jika perkahwinan itu belum lagi didaftarkan, memohon pada bila-bila masa kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan minta untuk didaftarkan perkahwinan itu.

(2) Pendaftar boleh menghendaki pihak-pihak kepada perkahwinan itu hadir di hadapannya dan mengemukakan apa-apa keterangan mengenai perkahwinan itu, sama ada lisan atau dokumentar, dan memberikan apa-apa butir lain sebagaimana yang dikehendaki olehnya.

(3) Pendaftar boleh, setelah berpuas hati tentang kebenaran pernyataan-pernyataan yang terkandung dalam permohonan itu, mendaftarkan perkahwinan itu dengan mencatatkan butir-butir mengenainya dalam Daftar Perkahwinan yang ditetapkan bagi maksud ini.

(4) Catatan perkahwinan dalam Daftar Perkahwinan itu hendaklah ditandatangani oleh Pendaftar yang membuat catatan itu dan oleh kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu, jika dapat hadir, dan, jika tidak, oleh mana-mana satu pihak yang hadir di hadapan Pendaftar.

(5) Selepas perkahwinan itu didaftarkan, satu salinan catatan dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui sah dan ditandatangani oleh Pendaftar dan dimeterai dengan meterai jawatannya hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri dan satu salinan ketiga hendaklah dihantar kepada Ketua Pendaftar.

(6) Pendaftar tidak boleh mendaftarkan sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini jika dia berpuas hati bahawa perkahwinan itu adalah tidak diakui di bawah Ordinan ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.