ENAKMEN 5 TAHUN 2001
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (TERENGGANU) 2001

BAHAGIAN VI - DARIHAL RAYUAN DAN PENYEMAKAN
BAB 1 - DARIHAL RAYUAN KEPADA MAHKAMAH TINGGI SYARIAH



Seksyen 138. Tatacara rayuan.

(1) Tertakluk kepada seksyen 136 dan 137, mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan mana-mana penghakiman, hukuman atau perintah yang diumumkan oleh mana-mana Mahkamah Rendah Syariah dalam sesuatu kes atau perkara jenayah yang kepadanya dia ialah suatu pihak, boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap penghakiman, hukuman atau perintah itu berkenaan dengan apa-apa kesilapan undang-undang atau fakta atau atas alasan bahawa mana-mana hukuman dikatakan keras berlebih-lebihan atau dikatakan tak memadai, dengan mengemukakan, dalam masa empat belas hari dari masa penghakiman, hukuman atau perintah itu dijatuhkan atau dibuat, kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah itu suatu notis rayuan dalam lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

(2) Tiap-tiap notis rayuan hendaklah mengandungi suatu alamat di mana apa-apa notis atau dokumen berkaitan dengan rayuan itu boleh disampaikan kepada perayu atau kepada Peguam Syarienya.

(3) Apabila sesuatu notis rayuan telah dimasukkan, Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat hendaklah membuat suatu salinan bertandatangan bagi alasan keputusan dalam kes itu dan menyebabkan alasan keputusan itu disampaikan kepada perayu atau Peguam Syarienya dengan meninggalkan salinan itu di alamat yang disebut dalam notis rayuan itu atau dengan menghantarnya melalui pos berdaftar yang dialamatkan kepada perayu di alamat itu.

(4) Dalam masa sepuluh hari masa selepas salinan alasan keputusan itu disampaikan menurut subseksyen (3), perayu hendaklah mengemukakan kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di mana perbicaraan itu telah diadakan suatu petisyen rayuan dalam lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

(5) Jika perayu dalam masa yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) bagi pengemukaan notis rayuannya telah memohon suatu salinan nota-nota keterangan yang direkodkan oleh Hakim semasa perbicaraannya, dia hendaklah mengemukakan petisyen rayuannya sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (4)-


mengikut mana-mana tempoh yang lebih panjang.

(6) Tiap-tiap petisyen rayuan hendaklah menyatakan dengan ringkas isi penghakiman yang terhadapnya rayuan dibuat, dan hendaklah mengandungi butir-butir yang tertentu mengenai perkara undang-undang atau mengenai fakta yang berkenaan dengannya Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat dikatakan telah silap.

(7) Jika perayu berada di dalam penjara, dia hendaklah disifatkan telah mematuhi kehendak seksyen ini jika dia memberi pegawai yang menjaga penjara itu notis rayuan sama ada secara lisan atau bertulis dan butir-butir yang dikehendaki dimasukkan dalam petisyen rayuan dalam masa yang ditetapkan oleh seksyen ini dan membayar fi rayuan yang ditetapkan.

(8) Pegawai yang menjaga penjara itu hendaklah dengan segera menghantar notis dan petisyen itu atau yang berupa sebagai notis dan petisyen itu kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di mana perbicaraan itu telah diadakan.

(9) Jika sesuatu petisyen rayuan tidak dikemukakan dalam masa yang ditetapkan oleh seksyen ini, rayuan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik dan Mahkamah perbicaraan hendaklah menguatkuasakan hukuman atau perintahnya jika apa-apa penggantungan pelaksanaan telah tidak dibenarkan, tetapi tiada apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai mengehadkan atau menyekat kuasa yang diberikan kepada Hakim oleh seksyen 140.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.