ENAKMEN 13 TAHUN 1984
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1984

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 48. Ruju'

(1) (a) Jika selepas perceraian yang boleh diruju'kan peruju'an telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal peruju'an itu dan butir-butir yang berkaitan dengannya kepada Pendaftar bagi mukim masjid di mana mereka bermukim. Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan jika berpuas hati bahawa peruju'an telah berlaku mengikut Hukum Syara' hendaklah mendaftarkan peruju'an itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan berhubung dengan perceraian itu, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya Sijil Cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka Keterangan Ruju' dalam borang yang ditetapkan. Ia hendaklah juga menyerahkan satu salinan Keterangan Ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana pula hendaklah membuat endorsmen pada catatan dalam Daftar Cerai yang disimpan olehnya;

(2) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar itu, ia hendaklah merekodkan dalam Sijil Cerai bilangan daftar dan butir-butir Keterangan Ruju' itu dan hendaklah menghantar Sijil Cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan Keterangan Ruju' itu dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu membuat satu endorsmen pada catatan dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan berhubung dengan perceraian itu. Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah kemudiannya menyerahkan salinan Keterangan Ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana pula hendaklah membuat endorsmen pada catatan dalam buku Daftar Perceraian dan Pembatalan yang disimpan olehnya berhubung dengan perceraian itu.

(3) Jika perceraian itu boleh diruju'kan telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu dan melafazkan ruju'.

(4) Jika selepas perceraian yang boleh diruju'kan suami melafazkan ruju' dan jika isteri bersetuju terhadap ruju' itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syara' sebaliknya dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu Jawatankuasa Pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 44 dan subseksyen (5) hingga (15) seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

(5) Tiap-tiap Pendaftar hendaklah menyimpan suatu Daftar Ruju' dalam borang yang ditetapkan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.